Saturday, May 7, 2011

INTEGRITI DALAM KOPERASI


 


SPRM puji langkah Angkasa anjur seminar integriti

PETALING JAYA: “Orang yang sihat akan selalu berjumpa doktor untuk mengetahui perkembangan kesihatannya...begitu juga orang beriman selalu ke masjid untuk beribadat atau mendengar ceramah,” kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, semalam.
Kiasan itu ditujukan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang dianggap mengambil langkah pencegahan terbaik dengan memberikan pendidikan kepada warganya apabila memanggil pegawai SPRM untuk memberi taklimat dan penerangan dalam Seminar Integriti Dalam Koperasi di Auditorium Angkasa, Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya.

Abu Kassim berkata, seminar itu membuktikan Angkasa dan koperasi prihatin serta mengambil berat mengenai rasuah dan integriti, lebih-lebih lagi Angkasa memiliki kira-kira lapan juta ahli dengan 120,000 Ahli Lembaga Pengarah (ALP) di seluruh negara dan mengendalikan jumlah wang yang besar.
“Saya yakin orang koperasi prihatin terhadap kebajikan masyarakat kerana itu mereka menubuhkan dan membabitkan diri dengan koperasi, tetapi dalam perjalanan menguruskannya, saya percaya akan menghadapi pelbagai masalah.

“SPRM mempunyai tiga teras perkhidmatan iaitu mengenal pasti orang yang melanggar undang-undang, menarik keluar orang yang tidak perlu berada di dalam sesuatu koperasi sekiranya mereka melanggar undang-undang dan memberi khidmat pakar dalam bidang pencegahan rasuah.

“Saya harap koperasi mempunyai dasar untuk membuat rujukan dan sekiranya terdapat perbuatan jenayah ketika pengauditan, ia mesti dirujuk kepada pihak berkuasa dan bukannya diselesaikan di peringkat dalaman. Ia bukan pilihan, tetapi kewajipan sebagai langkah penting dalam mewujudkan kesan pencegahan cukup tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup seminar itu yang disifatkannya sebagai permulaan jalinan erat antara SPRM dan Angkasa. Hadir sama, Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Abu Kassim berkata, pencegahan awal adalah elemen penting kerana ruang dan peluang melakukan rasuah atau jenayah perlu ditutup memandangkan penangkapan atau pengesanan pelaku saja tidak cukup untuk mengurangkan kes itu.
“Kita perlu melaksanakan serampang tiga mata iaitu pengesanan, pendidikan dan pencegahan. Sehubungan itu, SPRM sedia membantu membuat Pelan Integriti bagi membantu syarikat terutamanya mencegah masalah rasuah.

“Ia merangkumi tiga perkara iaitu pendidikan, proses pencegahan yang bermula daripada pengambilan serta latihan pekerja dan memahami undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, perkongsian dengan SPRM tidak berakhir di situ apabila tahun depan, pihaknya akan memasukkan subjek mengenai rasuah dan kesedaran berhubung integriti sebagai perkara utama dalam seminar membabitkan warganya.

“Sehingga 31 Disember lalu, Angkasa menaungi 8,164 koperasi dengan hampir 8 juta ahli. Kunci utama tanggungjawab koperasi adalah ALP dan kita memiliki kira-kira 120,000 orang di seluruh negara.

“Sejak 1977 sehingga Februari 2011, Angkasa sudah menguruskan lebih RM67 bilion transaksi potongan gaji membabitkan 2.8 juta pemegang akaun dan setakat ini, tiada satu sen pun yang kita uruskan itu hilang. Mulai tahun ini, 50 syarikat swasta terbabit dan nilai kira-kira RM30 juta sebulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment