Friday, January 7, 2011

Biasiswa Angkasa pada sesi akan datang

ARKIB : 07/01/2011

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Pemberian biasiswa kokurikulum Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang dalam aktiviti koperasi semasa di sekolah menengah akan bermula pada sesi pengajian akan datang.
Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, biasiswa yang pertama kali diperkenalkan itu adalah sebagai pengiktirafan para pelajar yang aktif dalam kegiatan koperasi.
“Mereka sewajarnya diberi biasiswa. Melalui biasiswa ini, Angkasa mengharapkan mereka akan terus aktif dalam kegiatan koperasi di IPT dengan menganggotai Koperasi Siswa (KOSISWA) dan seterusnya mampu memimpin gerakan koperasi negara kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas artikel Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengenai langkah Angkasa mengumumkan pemberian biasiswa kokurikulum berdasarkan bidang koperasi kepada penuntut IPTA.
Menurut Mohd. Ali, pihak koperasi sekolah di seluruh negara boleh mengemukakan calon yang difikirkan layak untuk menerima biasiswa itu kepada Angkasa.
“Pelajar terlibat mesti diterima masuk ke IPTA dan cemerlang dalam bidang akademik. Selain itu, pihak sekolah boleh menilai pelajar melalui program koperasi sekolah yang dianjurkan oleh Angkasa,” ujarnya.
Beliau memberitahu, buat permulaan Angkasa akan menawarkan biasiswa itu kepada 16 pelajar iaitu seorang dari setiap zon Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) dan ia akan ditambah mengikut keupayaan pembiayaannya.

No comments:

Post a Comment