Friday, January 7, 2011

Usah sisih kokurikulum

Usah sisih kokurikulum

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PETALING JAYA: Penaja biasiswa pendidikan diminta menjadikan pencapaian kokurikulum pelajar sebagai kriteria penting sebelum meluluskan biasiswa pendidikan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sudah tiba masanya kokurikulum dinilai sebagai sebahagian daripada kecemerlangan pelajar dan bukan bergantung kepada keputusan akademik semata-mata.
Katanya, perubahan itu bakal membudayakan set minda baru terhadap kokurikulum dan menggalakkan pelajar aktif di sekolah.
“Antara cara untuk meningkatkan pencapaian kokurikulum pelajar adalah dengan memberi pengiktirafan kepada pencapaian mereka, terutama dengan pemberian biasiswa.
“Jika dilihat pada masa ini kebanyakan penaja menilai dari aspek pencapaian akademik pelajar terlebih dulu sebelum memberi biasiswa dan kita berharap mereka akan memberi perhatian kepada pencapaian kokurikulum,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penganugerahan Tabung Pinjaman Pendidikan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum dan timbalannya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata penaja biasiswa juga digalakkan untuk mewujudkan biasiswa kokurikulum bagi memberi peluang kepada pelajar berbakat melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan.
“Setakat ini, hanya bidang sukan saja yang ada biasiswa dan ia juga hanya ditawarkan oleh Majlis Sukan Negara. Namun, untuk bidang kokurikulum yang lain seperti pidato, debat dan kebudayaan serta beberapa lagi belum mempunyai biasiswa khusus,” katanya.
Katanya, jika perkara itu dapat direalisasikan, ia membuka ruang bagi pelajar menetapkan matlamat mereka untuk mencapai kejayaan dalam bidang kokurikulum.

Mymetro

No comments:

Post a Comment